Soal Jawab Apakah batal puasa sekiranya saya berkumur secara gargle mengunakan ubat kumur?

June 2, 2017 in Artikel, Soalan & Jawapan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam hal berkumur pada bulan puasa, terdapat panduan daripada Nabi SAW:

أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Sempurnakanlah wudhu, selatilah antara jari-jari dan bersungguh-sungguhlah dalam menghisap air ke dalam hidung kecuali ketika berpuasa.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 788)

Para ulama’ memahami hadith ini sebagai satu anjuran daripada Nabi SAW untuk bersungguh-sungguh ketika menghisap air ke dalam hidung dan berkumur-kumur kecuali ketika berpuasa.

Dalam satu hadith yang lain, Nabi SAW ditanya oleh Umar al-Khattab:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah bercium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?
Riwayat Abu Daud (2385)

Tatkala mengulas hadith ini, Imam al-Nawawi menjelaskan jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. (al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/321)

Berkumur Secara Gargle Menggunakan Ubat Kumur

Dalam hal berkumur-kumur menggunakan mouth-rinsing gargle seperti ubat kumur misalnya, kami melihat ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai kepada had batin bagi rongga mulut iaitu makhraj huruf al-ha’ (الهاء). Kaedah berkumur-kumur secara gargling hanya melibatkan sekitar had zahir iaitu makhraj huruf al-kha’ (الخاء). Pun begitu, kami tidak menggalakkannya jika tidak keperluan.

Air Yang Berbaki Di Dalam Mulut & Termasuk Di Dalam Rongga

Sekiranya berlebih-lebihan berkumur dan termasuk dalam rongga, batal puasanya. Namun jika tidak berlebih-lebihan tetapi termasuk dalam rongga, tidak batal puasanya. Al-Khatib al-Syarbini menyatakan, “Menurut mazhab Syafie, jika seseorang berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung, lantas air tadi masuk ke dalam rongga, maka puasanya batal. Ini kerana orang yang berpuasa dilarang daripada berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung sebagaimana telah dijelaskan dalam perbahasan berkenaan wudhu. Namun, jika tidak berlebih-lebihan kemudian masuk air, tidak membatalkan puasa kerana ia tidak disengajakan.” (Mughni al-Muhtaj, 1/629)

Berhubung air yang tersisa dalam mulut, sekiranya saki baki airnya kekal dalam mulut selepas diluahkan, ia tidak membatalkan puasa dan tidak perlu mengeringkannya. Hal ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ Syafi’iyyah, menurut al-Mutawalli. Ini kerana jika diluahkan juga, tetap ada basahan di dalam mulut. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/327)

Hal ini juga bertepatan dengan Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyatakan, “Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;…” (Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6)

Semoga Allah SWT menerima ibadah kita dan menggolongkan kita dalam golongan orang-orang yang bertakwa.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Jun 2017 bersamaan 7 Ramadhan 1438H





Maklumat Lain anda patut baca..

Hadith ALLAH MEMPERINGATKAN KAMU TERHADAP- NYA   عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ...
KEDUDUKAN SUNNAH DI SISI AL-QUR’AN Mukadimah Akhir-akhir ini, kita melihat masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan sunnah di dalam kehidupan seharian mereka. Untuk itu, penghayata...
HUKUM HABISKAN BACAAN AL-FATIHAH KETIKA IMAM SUDAH... Soalan : Berkenaan dengan bacaan surah al-fatihah ketika solat berjamaah, perlukah seseorang makmum itu menghabiskan bacaannya sekiranya imam telah r...
Bolehkah berdoa semasa khutbah, bukan antara dua k... Antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menyebut tentang hari ...
Shaking Hands with Women: An Islamic Perspective Sheikh Muhammad Al-Mukhtar Al-Shinqiti, director of the Islamic Center of South Plains, Lubbock, Texas, states the following: There are two common ...
Prophet Muhammad (PBUH) : The Ideal Husband, Fathe... Prophet Muhammad personifies the roles of perfect father and husband. He was so kind and tolerant with his wives that they could not envisage their li...