Berita Semasa

Projek martabat mercu tanda penempatan Melayu: Najib

NAJIB bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melihat pelan pembangunan semula
Masjid Jamek Kampung Baru

6-2-2012 – Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru, selaras usaha memartabatkan masjid berkenaan sebagai mercu tanda Kampung Baru moden.

 Perdana Menteri berkata, peruntukan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu bagi memenuhi konsep pembangunan Kampung Baru dengan menjadikan masjid berkenaan sebagai titik pembangunan semula kawasan berkenaan.

“Dalam rekaan pembangunan semula kawasan di tengah bandar raya ini, ikonnya mesti Masjid Jamek Kampung Baru yang bakal menjadi lambang Kampung Baru moden yang serba berdaya maju dan canggih,” katanya berucap pada Program Ziarah Masjid di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, semalam.

Masjid berkenaan adalah yang pertama dikunjungi Perdana Menteri menerusi program berkenaan yang akan turut diadakan di seluruh negara bagi mendekatkan golongan belia kepada pelbagai program untuk mengimarahkan masjid.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa masjid berkenaan diberi tanggungjawab memilih kontraktor untuk membina, memperbesarkan serta membaik pulih bangunan masjid itu yang bakal memuatkan 5,000 jemaah. Masjid Jamek Kampung Baru telah dibina semula dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa dua tahun lagi. Ia dilakukan secara berperingkat mengikut fasa.

(artikel diambil dari Berita Harian 6-2-2012)

Untuk lihat gambar sila klik disini