BAYAN LINNAS SIRI 49: PERBEZAAN ITU SEWAJARNYA MENATIJAHKAN PERMUSUHAN?

January 4, 2017 in Artikel, Bayan Linnas

Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 12 Februari 2016

MUKADIMAH

Alhamdulillah, pada hari Khamis bersamaan 11 Februari 2016, bertempat di Dewan Putra PICC Putrajaya, satu mesyuarat induk Majlis Perundingan Islam (MPI) telah diadakan dan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menariknya, Majlis Perundingan Islam ini dianggotai oleh ramai tokoh yang berbeza latar aliran dari kalangan ilmuan, agamawan, tokoh-tokoh korporat, pertubuhan bukan kerajaan, serta tokoh politik dari kalangan umat Islam.

Ia bertujuan untuk mencapai keputusan yang tuntas dan baik untuk umat Islam serta berusaha untuk menatijahkan suatu keputusan yang boleh diterima pakai oleh semua pihak. Alhamdulillah usaha yang murni ini telah mendapat sokongan dari semua pihak yang terlibat.

Idea yang bernas dan tuntas juga telah dikemukakan oleh peserta-peserta yang hadir. Persoalan yang boleh kita timbulkan, adakah perbezaan itu sewajarnya menatijahkan permusuhan ?

Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita berhadapan dengan manusia yang pelbagai. Berlainan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, sosio budaya dan seumpamanya sudah tentu akan membawa kepada perbezaan ideologi dan pendapat. Bahkan setiap kita tidak dapat tidak pasti akan berbeza antara satu sama lain. Cumanya, cara kita menyantuni dan berinteraksi dengan perbezaan inilah yang akan menentukan sama ada perbezaan pendapat sesama kita ini akan menatijahkan suatu kebaikan atau keburukan. Justeru, Bayan Linnas pada siri ini akan mengupas dengan lebih lanjut berkenaan isu ini dalam usaha memberi keterangan umum buat umat Islam.

 

DEFINISI KHILAF

Ketika kita membincangkan soal khilaf ataupun perselisihan pendapat, tidaklah menjadi satu kehairanan apabila kita mendapati bahawa para ulama sendiri berkhilaf dalam mendefinisikan khilaf. Sebahagian mereka menyatakan bahawa khilaf dan ikhtilaf adalah sama. Manakala sebahagian ulama lain pula mengatakan pada keduanya terdapat perbezaan.

Di sini suka kami kongsikan definisi khilaf menurut al-Imam Raghib al-Asfahani. Kata beliau Rahimahullah: Khilaf adalah seseorang itu mengambil suatu jalan yang berbeza dengan jalan orang yang lain di dalam perbuatan dan juga ucapannya. Rujuk Mufradat al-Quran, al-Raghib al-Asfahani (Hlm. 294)

Justeru, jelaslah bagi kita bahawa khilaf itu adalah perbuatan yang berlawanan dengan kesepakatan.

 

PERSELISIHAN ITU FITRAH MANUSIA

Dalam menceritakan hal ini, Allah S.W.T berfirman:

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِين إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمۡ

Maksudnya: Dan sekiranya Tuhan kamu mahu nescaya Dia akan menjadikan manusia itu sebagai sebuah umat yang satu. Dan sentiasalah mereka itu saling berselisihan sesama mereka melainkan golongan yang mendapat rahmat dari Tuhan kamu. Oleh sebab itulah Dia menciptakan mereka.

Surah Hud (118-119)

 

Kata al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah ketika mengulas berkenaan ayat
ini: Sentiasalah manusia itu berselisih pandangan di dalam agama, pegangan, aliran, mazhab, dan pendapat-pendapat mereka. Kecuali golongan yang dirahmati oleh Allah dari kalangan pengikut para Rasul.
Yang mana mereka itu berpegang teguh dengan apa yang telah agama perintahkan hasil dari perkhabaran-perkhabaran yang telah para rasul sampaikan kepada mereka.

Kata al-Hasan al-Basri Rahimahullah: Disebabkan perselisihan inilah Allah menciptakan mereka. Sebagaimana kata Ibn Abbas R.anhuma: Allah menciptakan mereka kepada dua kelompok. Ada di antara mereka yang derita dan ada dari kalangan mereka golongan yang bahagia. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (7/362)

 

SEBAB-SEBAB KHILAF DAN CARA PENYELESAIANNYA:

Seperti yang telah dinyatakan, tabiat peribadi, hala tuju, minat dan kesukaan, akan menyebabkan seseorang berbeza dengan orang lain.
Tambahan pula ilmu yang mereka pelajari di pelbagai tempat akan menyebabkan terkesannya seseorang dengan guru-guru dan tempat belajar mereka.

Berikut merupakan beberapa faktor utama berlakunya perbezaan pendapat yang dapat kami kongsikan:

Pertama: Masalah Ilmu.

Ini kerana, kejahilan adalah musuh utama bagi manusia. Justeru, menghilangkan sisi kejahilan dan menambahkan kefahaman akan membawa perasaan hormat dan dapat menerima kepelbagaian pendapat jika ianya berasaskan hujah dan juga dalil yang sahih.

Kedua: Tafsiran Terhadap Nas Berdasarkan Kepada Idrak Atau Capaian Kefahaman.

Perkara ini juga merupakan sebab berlakunya perbezaan pendapat. Ianya dapat dikesan dengan cara fikir dan cara memahami seseorang itu terhadap nas. Ia dapat diselesaikan juga dengan cara menambah ilmu pengetahuan dan juga mendapatkan pencerahan.

Ketiga: Wujudnya Taksub Dan Sifat Ekstrem Dengan Pendapat Sendiri.

Sifat taksub baik kepada pandangan sendiri, pandangan guru, ataupun Jemaah sendiri serta menganggap bahawa kebenaran mutlak hanya milik kita dan selain kita kesemuanya salah adalah sifat buruk yang perlu dihindarkan dalam usaha untuk mengelakkan perbalahan semasa berbeza pendapat. Bahkan berlapang dada dan meraikan kepelbagaian pendapat itu adalah suatu yang terpuji.

Keempat: Sifat Kesumat Dan Hasad Dengki.

Sifat-sifat ini hanya akan menatijahkan perasaan permusuhan sesama kita. Hal ini sangat sukar untuk ditangkis kecuali jika diri kita disiram dengan keimanan dan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri, juga sifat rahmah. Ingatlah bahawa saudara yang kita musuhi itu adalah merupakan saudara seislam dan seiman dengan kita juga.

 

ADAB MUZAKARAH

Berikut suka untuk kami kongsikan beberapa adab semasa bermuzakarah terutamanya dalam isu-isu yang terdapat padanya perbezaan:

1- Hendaklah perbincangan dilakukan dalam suasana yang penuh akhlak dan adab mulia.

2- Muzakarah dilakukan dengan tujuan untuk mencari kebenaran dan bukannya kemenangan.

3- Kita niatkan muzakarah itu kerana Allah S.W.T.

4- Sentiasa menjaga adab berhiwar dan adab melontarkan pandangan.

5- Menggunakan bahasa yang baik dan lemah lembut serta menzahirkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

6- Perdebatan atau sebarang muzakarah berpandukan dalil dan wahyu yang sahih bukannya berpandukan emosi, taksub, dan keras kepala.

7- Sentiasa menunjukkan sifat tawadhuk antara satu sama lain.

8- Jauhi sifat hasad dan dendam kesumat serta jauhi sifat marah semasa bermuzakarah.

Jika kesemua perkara ini dapat dilakukan maka sudah barang pastilah kebenaran yang dicari akan dapat diperoleh. Insha Allah.

 

TELADAN PARA SALAF AL-SOLEH DALAM MENANGANI KHILAF

Dikongsikan di sini, beberapa kisah para ulama yang boleh kita jadikan sebagai teladar dan iktibar dalam usaha kita berinteraksi dengan khilaf atau perbezaan pendapat sesama kita.

Pertama: Kisah Saiduna Uthman Dan Saiduna Ibn Mas’ud.

Saiduna Abdullah Ibn Mas’ud berbeza pandangan dengan Saiduna Uthman bin Affan dalam isu solat penuh semasa musafir. Beliau berpendapat hendaklah dilakukan solat secara qasar ketika seorang itu dalam permusafiran. Ketika mana Saiduna Uthman menjadi imam, beliau melakukan solat secara penuh sebanyak 4 rakaat semasa di Mina. Ibn Mas’ud tetap mengikutnya sebagai makmum tanpa melakukan qasar. Justeru ditanyakan kepada Ibn Mas’ud : Kenapa engkau solat empat rakaat sedangkan kau dahulunya pernah solat bersama Rasulullah, Abu Bakr, dan Umar secara qasar ? Maka jawab Ibn Mas’ud: Khilaf itu adalah suatu yang buruk.

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ketika mengulas isu ini berkata: Ini kerana, maslahah menimbulkan kesatuan dan kasih sayang dalam agama adalah lebih besar dari melakukan perbuatan tersebut. Sama halnya ketika Nabi S.A.W meninggalkan pengubahan semula baitullah disebabkan dengan mengekalkannya dapat menyatukan dan menimbulkan kasih sayang di dalam hati-hati manusia. Rujuk Majmu’ah al-Fatawa, Ibn Taimiyyah
(22/407)

Sangatlah tepat ucapan dan perbuatan Ibn Mas’ud tersebut. Tambahan pula isu ini berkaitan masalah fekah yang terdapat ruang padanya untuk berbeza pendapat. Bahkan Saiduna Uthman dalam masalah ini melakukan takwilan semasa melakukan perbuatan tersebut. Dalam masa yang sama beliau juga merupakan salah seorang khulafa ar-rasyidin yang mana perbuatannya menjadi petunjuk dan ikutan.

Kedua: Kisah Para Sahabat Rasulullah S.A.W.

Saiduna Anas bin Malik R.anhu berkata: Kami para Sahabat Rasulullah S.A.W pada suatu hari keluar bermusafir. Di antara kami ada yang berpuasa dan ada juga sebahagian kami yang berbuka puasa. Ada di antara kami yang solat penuh dan ada juga sebahagian kami yang solat qasar. Orang yang berpuasa tidak menganggap aib kepada yang berbuka dan begitu juga sebaliknya. Orang yang solat qasar juga tidak menganggap aib kepada orang yang solat penuh dan begitulah juga sebaliknya.

Riwayat al-Baihaqi (5225)

Demikianlah petunjuk dan teladan yang telah diajarkan oleh para Sahabat kepada kita dalam mendepani perbezaan pendapat. Selama mana kedua-dua pihak mempunyai hujah dan dalil yang kukuh dalam menguatkan pendapat mereka maka tidak perlu untuk kita saling berbalahan dengan perbezaan yang terhasil.

Ketiga: Kisah Dua Imam: Al-Syafie Dan Yunus Al-Shodafi.

Kata al-Imam Yunus al-Sodafi: Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih berakal dari al-Syafie. Aku berbeza pendapat dengan beliau dalam satu permasalahan. Kemudian kami berdua berpisah. Lalu beliau berjumpa denganku dan memegang tanganku seraya berkata: Wahai Abu Musa, tidak bolehkah kita berterusan dalam bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu permasalahan ? Rujuk Siyar A’lam al-Nubala, al-Zahabi (10/16)

Demikian Subhanallah, ungkapan Imam al-Syafie ini tidak lain tidak bukan terbit dari sifat keinsafan dan jiwa besar seorang ulama yang ada pada diri beliau. Beliau benar-benar memahami bahawa hakikat perbezaan itu tidak semestinya menatijahkan permusuhan ! Ya, tambahan pula permasalahan yang diperselisihkan hanyalah yang berkaitan dengan isu fekah dan cabang-cabangnya.

Keempat : Kisah Tokoh Pembesar Mazhab.

Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah berpendapat bahawa perlu perbaharui wudhuk bagi seseorang yang keluar darah dari hidungnya ataupun disebabkan berbekam. Ditanyakan kepada beliau: Sekiranya seorang imam keluar darah dari anggota badannya adakah boleh untuk solat di belakangnya ? Jawab Imam Ahmad: Bagaimana aku tidak solat di belakang Imam Malik dan Sa’id Ibn al-Musayyib ? Rujuk Majmu’ah al-Fatawa, Ibn Taimiyyah (20/364).

Kisah ini jelas menunjukkan sifat insaf Imam Ahmad dan juga meraikan pendapat tokoh pembesar ulama seperti Imam Malik dan Said Ibn al-Musayyib. Sekalipun beliau berbeza pendapat dengan Imam Malik dari sudut perlunya berwudhuk ketika keluarnya darah, akan tetapi beliau tetap solat di belakang seorang imam yang mengikuti pendapat Imam Malik dari sudut tidak batalnya wudhuk seseorang yang keluar darahnya ketika solat.

Imam al-Syafie Rahimahullah juga ketika beliau solat subuh di masjid Abu Hanifah, beliau tidak melakukan qunut dan tidak menjaharkan bacaan basmalah sekalipun ia berbeza dengan pendapat mazhab beliau. Rujuk Thabaqat al-Hanafiyyah (1/433).

Ia jelas menggambarkan ketinggian adab beliau dengan pendapat Imam Abu Hanifah dalam kedua permasalahan tersebut.

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Menekuni sejarah para ulama, kita akan dapati bahawa khilaf telah berlaku sejak dahulu sehinggalah ke hari ini. Oleh itu, pendekatan taqrib kefahaman serta melihat kepada persaudaraan adalah sangat penting. Dengan kata lain, kita meletakkan ukhuwwah islamiah sesama kita itu lebih utama sehingga hati-hati kita tetap bersatu sekalipun buah fikiran kita terdapat padanya khilaf.

Kami teringat akan kenyataan yang dinisbahkan kepada tokoh ulama yang terkenal iaitu al-Syeikh Mustafa al-Sibaie:

“Kita saling tolong-menolong dalam hal-hal yang kita sepakati. Serta kita saling maaf-memaafi dan memberikan keuzuran dalam hal-hal yang kita perselisihkan.”

Semoga dengan sedikit pencerahan dari pihak kami ini akan menjadikan kita akrab dan saling memaafi antara satu sama lain serta dapat berinteraksi dengan perbezaan secara penuh hikmah dan lemah lembut.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama insafi perintah Allah yang ditujukan kepada kita semua di dalam firman-Nya:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kalian berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah kalian berpecah-belah.

Surah Aali Imran (103)

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
12 F
EBRUARI 2016 BERSAMAAN 3 JAMADIL AWAL 1437 H.





Maklumat Lain anda patut baca..

KEDUDUKAN SUNNAH DI SISI AL-QUR’AN Mukadimah Akhir-akhir ini, kita melihat masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan sunnah di dalam kehidupan seharian mereka. Untuk itu, penghayata...
FIQH JENAZAH BEBERAPA PERSOALAN Ditulis oleh Admin PMWP   Mukadimah Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap yang bernyawa pa...
BAYAN LINNAS SIRI KE-81: HUKUM MENGUCAPKAN “MERRY ... Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad Diterbitkan: 19 Disember 2016   Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke...
BAYAN LINNAS SIRI KE-80: HUKUM MENYAMBUT MAULID AL... Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad Diterbitkan: 11 Disember 2016   Mukadimah Alhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabi’ al-Awwal, ra...