Adab-Adab Menziarahi Kubur

April 18, 2017 in 1 Hari 1 Hadis, Artikel

1- MEMAHAMI OBJEKTIF MENZIARAHI KUBUR.

Daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah ia. [SAHIH Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Isti’zan an-Nabiyy sallallahu ‘alaihi wa sallam Rabbahu Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 977] Dalam riwayat At-Tirmizi disebutkan:

فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 1054, HASAN SAHIH]

Daripada Buraidah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يَزُورَ فَلْيَزُرْ، وَلاَ تَقُولُوا هُجْرًا ‏

Dulu aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur. Sekarang sesiapa yang mahu menziarahinya, ziarahilah. Janganlah dia berkata dengan perkataan yang tidak elok [Sunan an-Nasaie, Kitab al-Janaiz, hadis no: 2035]

كَانَ عُثْمَانُ إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ ، فَقِيلَ لَهُ : تُذْكَرُ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا ، فَقَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” إِنَّ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الْآخِرَةِ ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ

Apabila Uthman radiallahu ‘anhu berhenti di kubur, dia akan menangis hingga basah janggutnya. Dia disoal: Disebutkan tentang syurga dan neraka kepada engkau, tetapi engkau tidak menangis. Lalu engkau menangis untuk hal ini pula? Uthman menjawab: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sesungguhnya kubur merupakan tempat persinggahan yang pertama daripada tempat-tempat di akhirat. Seandainya seseorang selamat daripadanya, maka apa yang berlaku selepas itu adalah lebih mudah untuknya. Sesiapa yang tidak terselamat daripadanya, maka apa yang akan berlaku selepas itu lebih teruk daripadanya. [Sunan at-Tirmizi, Kitab az-Zuhd, hadis no: 2240, HASAN GHARIB]

 

2- MENDOAKAN SI MATI.

Daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka keluar untuk pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan muslim. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian. [SAHIH Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 975].

‘Aisyah radiallahu ‘anha pernah mengekori Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam pada waktu malam sehingga tiba di perkuburan Baqi’, ‘Aisyah radiallahu ‘anha menceritakan:

ثُمَّ انْطَلَقْتُ عَلَى إِثْرِهِ حَتَّى جَاءَ الْبَقِيعَ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Kemudian aku mengikut jejak baginda sehingga baginda tiba di Baqi’. Baginda berdiri dengan lama kemudian baginda menadah tangannya sebanyak tiga kali.

Apabila kembali ke rumah, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada ‘Aisyah:

فَإِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي حِينَ رَأَيْتِ فَنَادَانِي فَأَخْفَاهُ مِنْكِ فَأَجَبْتُهُ فَأَخْفَيْتُهُ مِنْكِ وَلَمْ يَكُنْ يَدْخُلُ عَلَيْكِ وَقَدْ وَضَعْتِ ثِيَابَكِ وَظَنَنْتُ أَنْ قَدْ رَقَدْتِ فَكَرِهْتُ أَنْ أُوقِظَكِ وَخَشِيتُ أَنْ تَسْتَوْحِشِي فَقَالَ .

Sesungguhnya Jibril datang kepada aku ketika engkau melihat aku. Jibril memanggil aku dan aku merahsiakannya daripada engkau. Aku menyahut panggilannya akan tetapi aku merahsiakan hal itu daripada engkau. Jibril tidak masuk menemui engkau kerana ketika itu engkau dalam keadaan tidak berpakaian. Aku pula menyangka engkau telah tidur jadi aku tidak suka untuk mengejutkan engkau kerana aku risau engkau akan berasa takut. Jibril menyatakan kepada aku:

إِنَّ رَبَّكَ يَأْمُرُكَ أَنْ تَأْتِيَ أَهْلَ الْبَقِيعِ فَتَسْتَغْفِرَ لَهُمْ “

Sesungguhnya Tuhan mu menyuruh kamu untuk pergi kepada penghuni Baqi’ dan memohon keampunan untuk mereka. ‘Aisyah pun bertanya:

كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ

Bagaimana caranya untuk aku mendoakan mereka ya Rasulullah? Baginda menjawab: Sebutlah:

السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ

Kesejahteraan kepada penghuni tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan mereka yang akan datang kemudian. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. [SAHIH Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 974]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ إِلَى الْمَقْبُرَةِ فَقَالَ

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah perkuburan lalu membaca:

‏”‏ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ ‏”‏

Selamat sejahtera ke atas kalian, penghuni rumah orang-orang beriman. Insya-Allah, sesungguhnya kami akan menyusul kalian. [SAHIH Muslim, Kitab at-Taharah, hadis no: 483]

Oleh kerana itu perbuatan kita di tanah perkuburan mestilah melambangkan kita sedang mengingati kematian dan berdoa untuk si mati. Kubur bukanlah tempat berhibur, bergurau senda, bermain gendang, menyanyi, dan lain-lain. Ini semua hanya menunjukkan kita tidak menepati objektif menziarahi kubur.

 

3 – TIDAK DUDUK DI ATAS KUBUR.

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Duduknya seseorang di atas bara api yang akan membakar pakaiannya dan membakar kulitnya itu lebih baik daripada seseorang duduk di atas kubur. [SAHIH Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 971]

 

4- TIDAK SOLAT KE ARAH KUBUR.
Daripada Abu Marsad al-Ghanawi radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian solat ke arahnya.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 972]

Satu-satunya solat yang dibenarkan di kubur ialah solat jenazah kerana kita tidak sempat solat sebelum jenazah ditanam.

 

MENZIARAHI KUBUR BUKAN MUSLIM.

Dibenarkan menziarahi kubur bukan Muslim berdasarkan riwayat di bawah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ زَارَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ ‏ “‏ اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ ‏”‏ ‏

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menziarahi kubur ibunya. Baginda menangis lalu membuatkan orang di sekeliling baginda menangis. Baginda bersabda: Aku meminta izin kepada tuhan ku untuk memohon keampunan untuk ibu ku, tetapi Allah tidak mengizinkan. Aku meminta izin pula untuk menziarahi kuburnya, lalu Allah mengizinkan aku. Ziarahilah kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kepada kematian. [Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 2130]

C. Tidak ada ulama yang menyatakan syiriknya menziarahi kubur, akan tetapi yang dilarang ialah membuat perkara yang membawa kepada syirik apabila menziarahi kubur.





Maklumat Lain anda patut baca..

Hadith ALLAH MEMPERINGATKAN KAMU TERHADAP- NYA   عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ...
KEDUDUKAN SUNNAH DI SISI AL-QUR’AN Mukadimah Akhir-akhir ini, kita melihat masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan sunnah di dalam kehidupan seharian mereka. Untuk itu, penghayata...
HUKUM HABISKAN BACAAN AL-FATIHAH KETIKA IMAM SUDAH... Soalan : Berkenaan dengan bacaan surah al-fatihah ketika solat berjamaah, perlukah seseorang makmum itu menghabiskan bacaannya sekiranya imam telah r...
Bolehkah berdoa semasa khutbah, bukan antara dua k... Antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menyebut tentang hari ...
Shaking Hands with Women: An Islamic Perspective Sheikh Muhammad Al-Mukhtar Al-Shinqiti, director of the Islamic Center of South Plains, Lubbock, Texas, states the following: There are two common ...
Prophet Muhammad (PBUH) : The Ideal Husband, Fathe... Prophet Muhammad personifies the roles of perfect father and husband. He was so kind and tolerant with his wives that they could not envisage their li...